Saturday, March 10, 2012

Sang Murabbi

Filem ini merupakan sebuah adaptasi kisah benar seorang murabbi Almarhum Rahmat Abdullah. Sudah agak lama filem ini berada di dalam simpanan saya tetapi setiap kali saya cuba menontonnya, setiap kali itu timbul gangguan yang membuatkan saya terus tertangguh-tangguh sehingga hampir terlupa akan kewujudan kisah ini di layar perak.

Alhamdulillah, pada pagi Ahad yang hening, sebagai melampias secebis lelah, filem ini akhirny tertonton jua. Ditemani isteri tersayang, skrin 10" netbook Samsung NB30 menjadi menjadi medan paparan filem daripada Indonesia ini. Walaupun tanpa sarikata, saya mendapati tidak sukar untuk memahami isi kandungannya. Setiap dialog disampaikan dengan penuh erti. Emosi yang terpapar juga tidak sukar untuk ditafsirkan.

Hati yang kontang ini terasa basah. Tatkala lelah mula mencengkam dan laluan kepada bisikan iblis mulai terbuka, saya merasa tersentuh di dalam setiap babak yang ada. Minda saya terpaku pada 'ibrah yang disampai secara langsung atau tidak. Inilah sebuah filem yang mendidik jiwa.

Kembali kepada asolah dakwah. Mungkin itu mesej yang paling jelas cuba disampaikan melalui karya selama lebih kurang satu jam setengah ini. Setiap babak yang disampaikan menerangkan liku-liku di jalan dakwah. Sesekali terasa seolah-olah Almarhum sedang berbicara dengan kita.

Usai filem itu, skrin 10" itu berubah gelap. Maka, jelaslah pada paparannya sebuah wajah yang cukup saya kenali. Kata-kata Saidina Ali terngiang-ngiang di minda. Seorang yang baik itu apabila dilihat wajahnya membuatkan hati kita semakin dekat dengan Allah. Saya melihat refleksi wajah itu sekali lagi. Lalu, saya bandingkan dengan apa yang rasa apabila melihat wajah-wajah sahabat-sahabat saya yang lain yang iltizam berjuang di jalan dakwah. Sungguh! Jauh panggang dari api!

Siapalah saya ini di sisi-Nya? Astaghfirullah....

Thursday, June 16, 2011

Paul



Melihat tajuknya sahaja sudah membuatkan saya terkekek sendirian. Paul bukanlah makhluk asing yang datang ke bumi untuk menakluk dunia. Sebaliknya, Paul adalah makhluk asing yang menakluk seluruh sistem saraf anda dengan lawak-lawak yang memecah perut.


Menonton filem ini memerlukan pemikiran yang agak matang. Pemikiran yang tidak sekadar menyerap apa sahaja yang disampaikan. Ada saringan-saringan yang perlu dilakukan. Seperti mana-mana filem barat yang ada, ada indoktrinisasi yang mahu diserap ke dalam minda penonton.


Paling jelas adalah hedonisme dan budaya bebas ala barat. Ya, memang Paul adalah makhluk yang 'comel' dan kelakar. Namun, jangan dibiarkan kecomelan itu mengaburi fikiran kita sehingga ianya menjadi suatu justifikasi untuk menghalalkan gaya hidup dan mesej yang ditonjolkan.


Paul tidak percayakan Tuhan. Dia percayakan evolusi. Paul mempunyai tabiat merokok dan juga menghisap ganja. Paul juga kuat mencarut dan cuba mengajar manusia yang ada di sekelilingnya untuk mengikut kelakuannya. Tetapi, Paul 'comel' dan kelakar. Jadi, apa yang ditonjolkan kelihatan 'comel' dan kelakar. Begitukah?


Bagi saya, Paul tentu lebih comel seandainya dia dapat menyampaikan imej dan mesej yang lebih positif.

Sunday, May 29, 2011

The Tourist



Gandingan mantap di antara Johnny Depp dan Angelina Jolie ini sememangnya menjadi. Filem ini mempunyai plot yang amat tersusun dengan kejutan-kejutan yang tidak disangka dan disudahi dengan baik sekali.


Filem yang berlatarbelakangkan Bandar Venice ini sememangnya berjaya menarik perhatian saya dengan paparan landskap bandar yang unik. Suasana di situ membuatkan saya teringat akan salah sebuah planet di dalam siri Star Wars di mana keseluruhan planet itu adalah sebuah negara yang bangunan-bangunannya dikelilingi air. Bagi saya, suasana itu cukup menenangkan dan romantik sekali.


Namun, di sebalik ketenangan itu sebenarnya terselit satu konflik dan konspirasi yang cukup besar. Seorang penipu sedang cuba menutup tirai di atas sebuah jenayah yang telah dilakukan. Di dalam proses itu, dia terjebak di antara pihak berkuasa dan juga orang yang telah ditipunya iaitu seorang penjenayah besar.


Percaturan yang dilakukan amat menjadi. Pihak berkuasa dan juga penjenayah besar itu telah dipergunakan sebagai buah caturnya. Sebuah penyudah yang amat bijak.


Mungkin sesetengah penonton sudah dapat menjangka kesudahan cerita ini. Saya sendiri juga sudah dapat mengagak apa kesudahannya sebaik watak yang dimainkan Johnny Depp muncul. Namun begitu, filem ini tetap mengajak saya kepada sesuatu. Oh, betapa teringinnya saya untuk menjejakkan kaki ke kota Venice!

Friday, May 13, 2011

127 Hours



Saya sememangnya menyukai karya adaptasi. Tidak kiralah sama ada adaptasi itu berdasarkan komik, novel, buku sejarah ataupun biografi.


127 Hours akan membawa kita menjelajahi Blue Canyon yang mempunyai landskap yang cukup mempersona. Menonton filem ini membuatkan saya teringin melawat The Dome dengan cara masuk sebagaimana yang ditunjukkan oleh watak utama.


Bayangkan anda berada di suatu tempat yang sempit dan kaki anda tidak menjejak tanah. Anda hanya mengharapkan kaki dan tangan anda yang berpaut pada dinding supaya tidak terperosok jatuh. Anda melihat ke bawah dan tidak pasti berapa jauhkah lagi anda akan dapat menjejak bumi. Lebih merisaukan, anda tidak tahu apa yang bakal menanti anda di bawah sana.


Tiba-tiba, salah seorang rakan yang bersama-sama anda terperosok jatuh ke bawah. Dia menjerit dan jeritannya semakin menghilang. Beberapa saat kemudian, anda terdengar ceburan air. Anda terdengar suara rakan anda menjerit kegirangan. Dia mengajak anda untuk turut terperosok sama. Apa yang bakal anda lakukan?


Mukaddimah cerita tersebut begitu pantas. Kita dibawa untuk memahami watak utama yang gemarkan sesuatu yang ekstrem. Daripada memacu pantas kereta pacuan empat rodanya, kepada meluncur laju dengan mountain bike dan akhirnya berpaut ke sana-sini di dalam lurah yang sempit. Tiba-tiba segala kelajuan itu terhenti apabila watak utama terjatuh dengan tangannya tersepit di antara dinding dan juga batu yang entah dari mana datangnya.


Di saat itulah, watak utama bermonolog. Sesuatu yang sering kita lakukan apabila berseorangan. Situasi tersebut telah mengajar kita tentang survival. Ia juga mengajar kita untuk tidak mengenepikan orang-orang yang kita kasihi.


Sebuah filem yang cukup memberi inspirasi. 127 Hours... Terdetik di fikiran saya, apa yang akan saya lakukan apabila berada di dalam situasi yang sama.

Sunday, April 24, 2011

Black Swan


Wow! Tiada apa lagi yang dapat saya katakan tentang filem yang banyak memenangi anugerah ini. Sebuah psiko-thriller yang cukup gelap sehingga di satu saat penonton akan ditarik masuk ke dalam minda watak utama yang cukup kompleks.

Sebuah filem yang cukup gila. Permainan minda yang ditonjolkan mengajak kira muhasabah diri akan betapa kentalnya diri kira apabila berhadapan dengan tekanan.

Di dalam cerita ini, Nina Sayers (Natalie Portman) merupakan seorang gadis yang berbakat di dalam tarian balet. Apabila melakukan sesuatu, dia amat mementingkan kesempurnaan. Tanpa disangka, obsesinya untuk mengejar kesempurnaan akhirnya memakan diri.

Dia terpilih untuk menjadi Queen Swan di dalam teater balet The Swan Lake. Di dalam teater itu dia perlu memainkan dua watak iaitu The White Swan dan The Black Swan. Tatkala mendalami kedua-dua watak itu, dia berhadapan dengan kembara imaginasi yang cukup gila. Daripada seorang yang naif, lembut dan baik hati, perlahan-lahan dia dimamah metamorfosis sikap yang bertentangan. Perlahan-lahan dia menjadi The Black Swan.

Cerita ini mengingatkan saya kepada orang-orang yang pentingkan kesempurnaan di luar sana. Perfectionist merupakan orang yang lemah kerana sentiasa dilanda was-was. Itu tidak sempurna. Ini tidak cukup. Akhirnya, dia tenggelam di dalam perasaan was-was itu dan menjadi fobia terhadap apa-apa sahaja. Hampir semua perkara dianggap ancaman kepada kesempurnaan yang dikecap.

Jadi, sekiranya anda adalah seorang yang perfectionist, rajin-rajinlah muhasabah diri. Anda mungkin adalah The Black Swan yang seterusnya!

Tuesday, March 29, 2011

Rango

Pada asalnya, dia tidak mempunyai nama. Dia hanyalah seekor sesumpah peliharaan yang hidup aman damai di dalam sebuah akuarium bersama-sama dengan permainannya.


Segala-galanya berubah apabila dia ditimpa kemalangan. Hidupnya menjadi kucar-kacir namun kerana kucar-kacir itulah hidupnya dipenuhi dengan warna. Dia juga mendapat sebuah nama...Rango!


Filem animasi ini mempunyai mesejnya yang tersendiri. Di dalam hidup ini, kita berhadapan dengan dua pilihan. Pilihan pertama adalah untuk hidup bersama-sama dengan orang lain, berhadapan dengan pelbagai konflik yang memeningkan kepala, berjaya menyelesaikan konflik dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat tersebut dan akhirnya menemui siapa diri kita yang sebenar. Pilihan kedua adalah meninggalkan masyarakat tersebut, memencilkan diri bak kera sumbang, hidup tenang tanpa sebarang gangguan tetapi akhirnya hilang identiti dan jatidiri.


Rango mengajar kita erti kehidupan. Erti hidup bermasyarakat. Erti diri.


Sebuah filem yang membuatkan penonton tidak kering gusi tetapi di dalam masa yang sama sarat dengan mesej-mesej yang membuatkan kita terfikir sejenak. Bagi yang membuat kajian, pasti akan bertemu dengan unsur-unsur biblikal yang cuba disampaikan melalui filem ini terutama yang berkaitan dengan pembangkitan semula.


Ya, kita boleh tertawa tetapi di dalam tawa itu, luangkan masa sejenak untuk berfikir tentang isi dan kandungan filem ini. Ada yang tersirat di sebalik yang tersurat.


Akhir kata, Don't tango with the Rango!

Sunday, November 28, 2010

The Next Three Days

Filem bercorak drama dan thriller ini begitu sinonim dengan hero-hero tua seperti Russell Crowe dan juga Mel Gibson. Barangkali sudah menjadi satu trend di masa kini di mana hero-hero tua akan dipasangkan dengan aktres yang muda jelita. Elizabeth Banks sememangnya begitu cocok sebagai pasangan Russell Crowe di dalam filem ini.
Secara ringkasnya, filem ini menceritakan tentang kesungguhan seorang suami yang mahu membebaskan isterinya daripada penjara. Dia percaya isterinya itu tidak bersalah sedangkan bukti-bukti menjurus kepada perkara yang sebaliknya. Apabila rayuan terakhirnya kepada mahkamah ditolak, dia akhirnya memilih jalan sendiri untuk membebaskan isterinya itu.

Untuk itu, dia telah mempelajari selok-belok penjara di mana isterinya ditempatkan dan kawasan sekitarnya. Rancangan dibuat dengan begitu teliti mengingatkan saya tentang siri Prison Break.

Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya lolos bersama-sama isterinya. Suatu kisah yang menjadi pengajaran bahawa sistem keadilan yang lebih condong kepada menghukum kadang-kadang sebenarnya telah melakukan suatu kezaliman. Di dalam sistem keadilan Islam, hakim yang tersalah memaafkan adalah lebih baik daripada hakim yang tersalah menghukum. Sama-samalah kita menilai.
Di dalam filem ini, mungkin para hakim tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya. Pihak pendakwaan terutama sekali pegawai penyiasat turut menanggung tanggungjawab yang sama. Barangkali kerana terlalu gopoh mahu menghukum, kita terlepas pandang perkara-perkara kecil yang boleh mengubah segala-galanya. Mungkin juga kita melihat perkara tersebut, tetapi kita takut untuk menerima hakikat kerana kita hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya kebenaran.
Bagi saya, filem ini mempunyai banyak pengajaran. Cinta dan kasih sayang seorang suami terhadap isterinya. Kerapuhan sistem keadilan yang semata-mata berdasarkan rasional. Kesungguhan dan kepercayaan.
Tonton filem ini dan nilailah sendiri.