Showing posts with label Aksi. Show all posts
Showing posts with label Aksi. Show all posts

Sunday, May 29, 2011

The Tourist



Gandingan mantap di antara Johnny Depp dan Angelina Jolie ini sememangnya menjadi. Filem ini mempunyai plot yang amat tersusun dengan kejutan-kejutan yang tidak disangka dan disudahi dengan baik sekali.


Filem yang berlatarbelakangkan Bandar Venice ini sememangnya berjaya menarik perhatian saya dengan paparan landskap bandar yang unik. Suasana di situ membuatkan saya teringat akan salah sebuah planet di dalam siri Star Wars di mana keseluruhan planet itu adalah sebuah negara yang bangunan-bangunannya dikelilingi air. Bagi saya, suasana itu cukup menenangkan dan romantik sekali.


Namun, di sebalik ketenangan itu sebenarnya terselit satu konflik dan konspirasi yang cukup besar. Seorang penipu sedang cuba menutup tirai di atas sebuah jenayah yang telah dilakukan. Di dalam proses itu, dia terjebak di antara pihak berkuasa dan juga orang yang telah ditipunya iaitu seorang penjenayah besar.


Percaturan yang dilakukan amat menjadi. Pihak berkuasa dan juga penjenayah besar itu telah dipergunakan sebagai buah caturnya. Sebuah penyudah yang amat bijak.


Mungkin sesetengah penonton sudah dapat menjangka kesudahan cerita ini. Saya sendiri juga sudah dapat mengagak apa kesudahannya sebaik watak yang dimainkan Johnny Depp muncul. Namun begitu, filem ini tetap mengajak saya kepada sesuatu. Oh, betapa teringinnya saya untuk menjejakkan kaki ke kota Venice!

Friday, October 15, 2010

Legend of The Fist: The Return of Chen Zhen

Nama Donnie Yen cukup terkenal dengan filem-filem aksi Hong Kong. Berbeza dengan Jackie Chan dan juga Jet Li, Donnie Yen sinonim dengan satu perkataan... patriotisme.

Tidak jauh berbeza daripada wataknya di dalam Ip Man, Chen Zhen telah menjadi hero kebanggaan China. Filem tersebut mengambil masa sewaktu penjajahan Jepun ke atas sebahagian wilayah di negara tersebut. Di dalam zaman yang penuh dengan penindasan dan korupsi, muncul seorang wira bertopeng untuk membetulkan keadaan. Jepun mesti dihalau keluar dari tanah milik China.

Wirawan itu tidak mempunyai kekebalan seperti Superman mahupun gajet-gajet canggih seperti Batman. Dia hanya mengharapkan ketangkasannya menghayun tumbukan ketika menghadapi lawan. Dia hanyalah manusia biasa tetapi kecintaannya kepada negara menjadi sumber kekuatannya untuk bangkit. Dia amat cintakan negaranya sehingga sanggup mengenepikan cintanya kepada seorang gadis apabila mengetahui gadis itu adalah agen perisik Jepun.

Sememangnya cinta itu pahit apabila kita mengetahui realitinya.

Menonton filem ini membangkitkan patriotisme yang terpendam. Lupakan sahaja tentang grafik 3Dnya yang agak kaku dan juga gambaran berat sebelah tentang askar-askar Jepun yang cuba menyerang China. Andai dilihat dari perspektif yang lebih luas, filem ini menanam rasa cinta kepada tanah air. Perasaan itu tampaknya luluh di dalam generasi masa kini mungkin kerana telah lahir di dalam keadaan yang cukup aman dan selesa. Itupun, masih ada yang berura-ura mahu berhijrah ke negara lain.

Akhirnya, negara sendiri terpaksa membawa masuk warga dari negara lain untuk menampung keperluan tenaga kerja. Tidak hairanlah jika suatu hari nanti, negara tersebut akan terjajah dengan sendirinya.