Showing posts with label Thriller. Show all posts
Showing posts with label Thriller. Show all posts

Sunday, May 29, 2011

The Tourist



Gandingan mantap di antara Johnny Depp dan Angelina Jolie ini sememangnya menjadi. Filem ini mempunyai plot yang amat tersusun dengan kejutan-kejutan yang tidak disangka dan disudahi dengan baik sekali.


Filem yang berlatarbelakangkan Bandar Venice ini sememangnya berjaya menarik perhatian saya dengan paparan landskap bandar yang unik. Suasana di situ membuatkan saya teringat akan salah sebuah planet di dalam siri Star Wars di mana keseluruhan planet itu adalah sebuah negara yang bangunan-bangunannya dikelilingi air. Bagi saya, suasana itu cukup menenangkan dan romantik sekali.


Namun, di sebalik ketenangan itu sebenarnya terselit satu konflik dan konspirasi yang cukup besar. Seorang penipu sedang cuba menutup tirai di atas sebuah jenayah yang telah dilakukan. Di dalam proses itu, dia terjebak di antara pihak berkuasa dan juga orang yang telah ditipunya iaitu seorang penjenayah besar.


Percaturan yang dilakukan amat menjadi. Pihak berkuasa dan juga penjenayah besar itu telah dipergunakan sebagai buah caturnya. Sebuah penyudah yang amat bijak.


Mungkin sesetengah penonton sudah dapat menjangka kesudahan cerita ini. Saya sendiri juga sudah dapat mengagak apa kesudahannya sebaik watak yang dimainkan Johnny Depp muncul. Namun begitu, filem ini tetap mengajak saya kepada sesuatu. Oh, betapa teringinnya saya untuk menjejakkan kaki ke kota Venice!

Friday, May 13, 2011

127 Hours



Saya sememangnya menyukai karya adaptasi. Tidak kiralah sama ada adaptasi itu berdasarkan komik, novel, buku sejarah ataupun biografi.


127 Hours akan membawa kita menjelajahi Blue Canyon yang mempunyai landskap yang cukup mempersona. Menonton filem ini membuatkan saya teringin melawat The Dome dengan cara masuk sebagaimana yang ditunjukkan oleh watak utama.


Bayangkan anda berada di suatu tempat yang sempit dan kaki anda tidak menjejak tanah. Anda hanya mengharapkan kaki dan tangan anda yang berpaut pada dinding supaya tidak terperosok jatuh. Anda melihat ke bawah dan tidak pasti berapa jauhkah lagi anda akan dapat menjejak bumi. Lebih merisaukan, anda tidak tahu apa yang bakal menanti anda di bawah sana.


Tiba-tiba, salah seorang rakan yang bersama-sama anda terperosok jatuh ke bawah. Dia menjerit dan jeritannya semakin menghilang. Beberapa saat kemudian, anda terdengar ceburan air. Anda terdengar suara rakan anda menjerit kegirangan. Dia mengajak anda untuk turut terperosok sama. Apa yang bakal anda lakukan?


Mukaddimah cerita tersebut begitu pantas. Kita dibawa untuk memahami watak utama yang gemarkan sesuatu yang ekstrem. Daripada memacu pantas kereta pacuan empat rodanya, kepada meluncur laju dengan mountain bike dan akhirnya berpaut ke sana-sini di dalam lurah yang sempit. Tiba-tiba segala kelajuan itu terhenti apabila watak utama terjatuh dengan tangannya tersepit di antara dinding dan juga batu yang entah dari mana datangnya.


Di saat itulah, watak utama bermonolog. Sesuatu yang sering kita lakukan apabila berseorangan. Situasi tersebut telah mengajar kita tentang survival. Ia juga mengajar kita untuk tidak mengenepikan orang-orang yang kita kasihi.


Sebuah filem yang cukup memberi inspirasi. 127 Hours... Terdetik di fikiran saya, apa yang akan saya lakukan apabila berada di dalam situasi yang sama.

Sunday, April 24, 2011

Black Swan


Wow! Tiada apa lagi yang dapat saya katakan tentang filem yang banyak memenangi anugerah ini. Sebuah psiko-thriller yang cukup gelap sehingga di satu saat penonton akan ditarik masuk ke dalam minda watak utama yang cukup kompleks.

Sebuah filem yang cukup gila. Permainan minda yang ditonjolkan mengajak kira muhasabah diri akan betapa kentalnya diri kira apabila berhadapan dengan tekanan.

Di dalam cerita ini, Nina Sayers (Natalie Portman) merupakan seorang gadis yang berbakat di dalam tarian balet. Apabila melakukan sesuatu, dia amat mementingkan kesempurnaan. Tanpa disangka, obsesinya untuk mengejar kesempurnaan akhirnya memakan diri.

Dia terpilih untuk menjadi Queen Swan di dalam teater balet The Swan Lake. Di dalam teater itu dia perlu memainkan dua watak iaitu The White Swan dan The Black Swan. Tatkala mendalami kedua-dua watak itu, dia berhadapan dengan kembara imaginasi yang cukup gila. Daripada seorang yang naif, lembut dan baik hati, perlahan-lahan dia dimamah metamorfosis sikap yang bertentangan. Perlahan-lahan dia menjadi The Black Swan.

Cerita ini mengingatkan saya kepada orang-orang yang pentingkan kesempurnaan di luar sana. Perfectionist merupakan orang yang lemah kerana sentiasa dilanda was-was. Itu tidak sempurna. Ini tidak cukup. Akhirnya, dia tenggelam di dalam perasaan was-was itu dan menjadi fobia terhadap apa-apa sahaja. Hampir semua perkara dianggap ancaman kepada kesempurnaan yang dikecap.

Jadi, sekiranya anda adalah seorang yang perfectionist, rajin-rajinlah muhasabah diri. Anda mungkin adalah The Black Swan yang seterusnya!

Sunday, November 28, 2010

The Next Three Days

Filem bercorak drama dan thriller ini begitu sinonim dengan hero-hero tua seperti Russell Crowe dan juga Mel Gibson. Barangkali sudah menjadi satu trend di masa kini di mana hero-hero tua akan dipasangkan dengan aktres yang muda jelita. Elizabeth Banks sememangnya begitu cocok sebagai pasangan Russell Crowe di dalam filem ini.
Secara ringkasnya, filem ini menceritakan tentang kesungguhan seorang suami yang mahu membebaskan isterinya daripada penjara. Dia percaya isterinya itu tidak bersalah sedangkan bukti-bukti menjurus kepada perkara yang sebaliknya. Apabila rayuan terakhirnya kepada mahkamah ditolak, dia akhirnya memilih jalan sendiri untuk membebaskan isterinya itu.

Untuk itu, dia telah mempelajari selok-belok penjara di mana isterinya ditempatkan dan kawasan sekitarnya. Rancangan dibuat dengan begitu teliti mengingatkan saya tentang siri Prison Break.

Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya lolos bersama-sama isterinya. Suatu kisah yang menjadi pengajaran bahawa sistem keadilan yang lebih condong kepada menghukum kadang-kadang sebenarnya telah melakukan suatu kezaliman. Di dalam sistem keadilan Islam, hakim yang tersalah memaafkan adalah lebih baik daripada hakim yang tersalah menghukum. Sama-samalah kita menilai.
Di dalam filem ini, mungkin para hakim tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya. Pihak pendakwaan terutama sekali pegawai penyiasat turut menanggung tanggungjawab yang sama. Barangkali kerana terlalu gopoh mahu menghukum, kita terlepas pandang perkara-perkara kecil yang boleh mengubah segala-galanya. Mungkin juga kita melihat perkara tersebut, tetapi kita takut untuk menerima hakikat kerana kita hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya kebenaran.
Bagi saya, filem ini mempunyai banyak pengajaran. Cinta dan kasih sayang seorang suami terhadap isterinya. Kerapuhan sistem keadilan yang semata-mata berdasarkan rasional. Kesungguhan dan kepercayaan.
Tonton filem ini dan nilailah sendiri.

Friday, October 15, 2010

Detective Dee: The Mystery of the Phantom of Flame

Detektif Dee tidak menyelesaikan masalah secera deduktif sepertimana Sherlock Holmes. Andai dinilaii, tiada apa-apa yang istimewa berkenaan detektif ini melainkan pedang istimewa yang dihadiahkan oleh seorang maharaja kepadanya. Pedang itu dapat mengesan sebarang retak pada senjata pihak lawan dan memanipulasi kelemahan tersebut lantas menghancurkan senjata pihak lawan dari dalam.

Ada lagenda mengatakan bahawa pedang itu dapat mengesan jika seseorang berbohong. Jadi, yang istimewanya adalah pedang tersebut. Bukanlah tuannya. Detektif Dee adalah ibarat penyiasat yang biasa-biasa sahaja yang mempunyai akses-akses ke atas sumber-sumber tertentu untuk membantu kesnya.

Andai dia adalah seorang yang luarbiasa, sudah tentu dia sudah dapat menyelesaikan kes tersebut dari awal lagi. Motif penjahat sebenar adalah terlalu jelas. Dendam.

Filem ini adalah gabungan di antara fakta dan juga fiksyen. Maharani Wu adalah satu-satunya wanita yang pernah menjadi pemerintah China. Itu adalah fakta. Detektif Dee pula adalah watak fiksyen yang sengaja dicipta sebagai penentang Maharani Wu di atas kekejaman yang pernah dilakukan Maharani tersebut. Namun, di dalam filem ini, Detektif Dee telah membantu Maharani Wu untuk menyelesaikan kes satu kes pembunuhan di hari-hari terakhir sebelum pemasyhuran Maharani Wu sebagai pemerintah China.

Sulaman fakta dan fiksyen telah menjadikan filem ini sebagai sesuatu yang luarbiasa. Maharani Wu sebenarnya adalah titik tolak kepada perubahan pemikiran di dalam masyarakat China. Tatkala itu, wanita mula diberi ruang yang saksama dan diberi status sosial yang lebih baik. Namun, perubahan itu tidak datang dengan harga yang murah. Beberapa nyawa terpaksa digadaikan.

Untuk mencapai kuasa mutlak, semua perkara boleh digadaikan.

Kehadiran Detektif Dee adalah simbolik untuk mengimbangi kekejaman yang telah dilakukan. Maharani Wu akhirnya menjadi pemerintah dengan bantuan orang yang pernah cuba menentangnya lapan tahun yang lalu.

Lupakan kegelapan semalam dan lihatlah kecerahan hari esok.